kAsiH WiDuri

cerita hati kita

Dr. Hans Selye, seorang tokoh ilmu psikologi yang terkenal, mendefinisikan stress atau tekanan sebagai “reaksi badan yang tidak menentu atau tidak spesifik (non-specific reaction) terhadap suatu keadaan.”

Stress atau tekanan mempunyai kebaikannya. ianya sering melanda diri kita terutamanya pelajar. Sebagai contoh, peperiksaan menyebabkan tekanan, namun ia menyebabkan seseorang membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya. Sakit juga menyebabkan tekanan, namun ia adalah penting untuk melahirkan keinsafan dan kesedaran. Tekanan yang melahirkan kesan yang positif ini di namakan sebagai eustress atau tekanan yang baik. Allah berfirman, “Sesungguhnya Kami akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada mereka yang sabar.” (Surah Al-Baqarah ayat 155)

Tekanan yang berbahaya ialah yang tidak dapat dikawal sehingga membuat seseorang mengalami kesugulan, putus harapan, keinginan untuk membunuh diri dan seumpamanya.

Masalah dan ujian kebiasaannya tidak menyebabkan tekanan yang melampau ke atas seseorang. Yang menyebabkannya ialah persepsi yang salah ataupun pemikiran yang negatif, sehingga akhirnya menimbulkan reaksi yang melampau. Sebagai contoh, apabila dua orang dihadapkan dengan tekanan yang sama, reaksi mereka adalah berbeza. Seorang mungkin tidak boleh menerima realiti dan terus berputus asa, lantas tekanan yang dialaminya sangat tinggi. Rakannya pula menganggap ujian sebagai lumrah hidup dan menerimanya sebagai cabaran dan kesempatan untuk memperbaiki diri, justeru tekanan yang dialaminya merupakan tekanan yang menguntungkan. Salah satu contoh yang amat baik untuk ditonjolkan ialah seorang lelaki kudung yang dipaparkan oleh TV Malaysia pada malam 16 Januari 1996. Beliau dilahirkan sebagai seorang bayi yang kudung kedua-dua belah tangannya namun beliau tidak menjadikan kecacatannya sebagai alasan untuk kecewa dan berputus asa. Sekarang bayi itu sudah dewasa dan berjaya menjadi seorang doktor perubatan dan telah berkhidmat selama 16 tahun. Namanya ialah Dr. Zhou.

Mengikut suatu kajian yang dilakukan oleh Prevention Magazine, 10 punca utama yang menyebabkan tekanan yang memudaratkan atau stressors kepada manusia ialah:

1. Masalah kewangan

2. Masalah kerjaya

3. Memikul terlalu banyak tanggungjawab

4. Masalah perkahwinan

5. Masalah kesihatan

6. Masalah anak-anak

7. Kesunyian

8. Masalah seks

9. Masalah saudara mara

10.Masalah jiran

Kesan Tekanan Ke Atas Kesihatan

Tekanan sering kali memberi kesan kepada fizikal dan kesihatan seseorang dan di antara manifestasi nya ialah:

• Denyutan jantung menjadi laju

• Kerap sakit

• Susah tidur

• Mudah letih

• Cepat marah

• Tidak mampu memberi tumpuan

• Sakit perut dan usus

• Suka mengambil gula-gula

• Terlibat dengan penyalahgunaan dadah

• Minum arak

Tekanan dan Darah Tinggi

Tekanan merangsang pengeluaran hormon cortisol di dalam darah. Hormon ini menyebabkan tekanan darah meningkat dan apabila keadaan ini berterusan seseorang boleh menghidap penyakit darah tinggi.

Tekanan dan Kenaikan Kadar Kolesterol

Dr. Catherine Stoney dari Universiti Ohio melaporkan, tekanan jangka panjang menyebabkan paras lemak meningkat di dalam darah. Lebihan lemak ini menyempitkan pembuluh darah atau atherosclerosis dan apabila ini berlaku di dalam pembuluh darah koronari, serangan jantung akan berlaku.

Tekanan dan Sakit Jantung

Di samping hormon cortisol, tekanan juga merangsang pengeluaran adrenaline dan homocysteine. Hormon adrenaline memudahkan proses pembekuan darah dan fenomena ini apabila berlaku pada pembuluh darah koronari boleh menyebabkan serangan sakit jantung. Mengikut satu kajian yang dilakukan di Universiti Duke, tekanan juga boleh menyebabkan pembuluh darah koronari menguncup (constriction) dan hal ini meningkatkan risiko seseorang diserang sakit jantung koronari. Homocysteine adalah asid amino yang sering dikaitkan dengan penyakit jantung koronari, justeru peningkatannya ketika tekanan meningkatkan risiko diserang penyakit ini.

Tekanan dan Sistem Pertahanan Badan

Beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan tekanan melemahkan sistem pertahanan badan dan meningkatkan risiko mendapat infeksi. Hal ini disebabkan, pengeluaran hormon epinephrine dan norepinephrine meningkat pada waktu tekanan dan kedua-dua hormon ini berfungsi melemahkan peranan sel-sel pembunuh kuman atau natural killer cells di dalam badan.

Tekanan dan Kesugulan

Otak manusia memerlukan bahan-bahan kimia tertentu untuk menstabilkan fungsinya. Bahan-bahan ini menjadi penghubung di antara sel-sel saraf di dalam otak dan ia memastikan sistem saluran maklumat berjalan dengan baik. Di antara bahan-bahan yang diperlukan ialah serotonin, norepinephrine dan dopamine. Ketidakseimbangan di antara bahan-bahan ini boleh menyebabkan kesugulan atau depression dan kajian-kajian menunjukkan tekanan yang kronik boleh menyebabkan kesugulan ini.

Tekanan dan Memori

Web MD Health bertarikh 25 September 2000 melaporkan tentang satu kajian yang mendapati tekanan melemahkan konsentrasi dan daya ingatan individu dan keadaan ini meningkatkan risiko berlakunya kemalangan di tempat kerja dan rumah. Kajian ini juga mendapati, pendedahan yang lama kepada hormon cortisol yang sering meningkat pengeluarannya pada waktu seseorang mengalami tekanan, merosakkan bahagian otak yang berfungsi menyimpan dan memproses maklumat yang dikenali sebagai hippocampus.

Tekanan dan Seks

Kajian-kajian juga menunjukkan, tekanan mengurangkan minat seseorang terhadap seks dan boleh menyebabkan kemandulan. Bagi lelaki, kemandulan ini berpunca dari pengeluaran hormon-hormon tertentu oleh otak yang menyempitkan pembuluh darah di bahagian zakar sekali gus menghalang penegakan zakar (erection). Bagi wanita, hormon-hormon ini mengganggu bahagian otak yang dikenali sebagai hypothalamus. yang berfungsi mengeluarkan hormon-hormon kesuburan.

Tekanan dan Kecacatan Bayi

Kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar di Denmark menunjukkan, tekanan yang kronik boleh menyebabkan kecacatan anak di dalam rahim ibu terutamanya kecacatan di bahagian mulut dan jantung. Penemuan ini diterbitkan oleh majalah Lancet pada 9 September 2000.

Mereka yang cemerlang ialah mereka yang mengenali stress serta mampu menanganinya dengan baik dengan menggunakan formula yang betul.

Untuk perincian sila dapatkan buku ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ karangan Dr. Danial bin Zainal Abidin)

Nukilan

Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Universiti Alexandria)

Beliau ialah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy,

Pengamal Perubatan selama 20 tahun,

Motivator Radio Malaysia Pulau Pinang selama 10 tahun,

Penulis 10 buah buku, Kolumnis Majalah-i

Pemudah Cara Pelbagai Korporat dan Institusi,

Penasihat Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa.

0 comments:

Post a Comment

About this blog

" Jika dia jodohku, KAU permudahkanlah.. dan jika bukan, KAU jauhkanlah dia dariku.. Dan jika perasaan ini.. menyayanginya keranaMU, KAU bantulah kami.. dan jika ianya kerana nafsu semata.. Kau jauhkanlah ia dari kami.."

Renungan

"Barangsiapa yang dikehendaki Allah (kesesatan) nescaya disesatkan-Nya. Dan, barangsiapa yang dikehendaki Allah (untuk diberi-Nya pertunjuk) nescaya Dia menjadikan-Nya berada dijalan yang lurus."
(QS Al-An'am:39)

Tentang Beliau

Tentang Beliau

Counting days

Daisypath Anniversary tickers

Click

Date

Masa itu Emas

comments

visit-visit

My Follower

Search This Blog